"Saya minta maaf, semua sudah tiada" - Utusan Malaysia

“Saya minta maaf, semua sudah tiada”

AHLI keluarga tiga beradik yang maut dalam kemalangan jalan raya semalam tidak dapat menahan sebak ketika jenazah tiga beradik itu selesai bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: “Saya minta maaf, saya minta maaf, semua dah tiada’

Demikian nada sayu Muhammad Alhafiz Mohamad, 29, bapa kepada tiga beradik lelaki yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 272.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang di sini semalam.

Muhammad Alhafiz mengucapkan kata-kata itu setelah tidak dapat menahan sebak ketika jenazah tiga anaknya yang sudah dikafan, selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

MUHAMMAD Alhafiz Mohamad (kiri) ditenangkan oleh abang iparnya, Muhd. Jazli Aiman, 31, ketika bedah siasat jenazah anaknya di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh hari ini. – FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI

Jenazah tiga beradik lelaki, Muhammad Adam Hakimi, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, dimandi dan dikafankan sebelum disolatkan di pekarangan Jabatan Forensik HRPB di sini.

Kesemua van membawa jenazah tiga beradik itu keluar daripada pekarangan HRPB pada pukul 5.30 petang.

Jenazah dibawa pulang ke Kampung Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka menaiki tiga van jenazah bagi urusan pengebumian.

Suasana pilu menyelubungi Jabatan Forensik HRPB apabila keluarga mangsa hadir bagi menunggu proses bedah siasat ketiga-tiga jenazah sejak pukul 2 petang.

Malah, Muhammad Alhafiz kelihatan lemah sehingga terpaksa ditenangkan ahli keluarganya.

Sebelum itu, Muhammad Alhafiz memberitahu, isterinya, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, yang cedera parah dalam kemalangan semalam dan dirawat di HRPB belum mengetahui mengenai kematian tiga anak mereka sekaligus.

Menurutnya, dia belum bersedia untuk memberitahu perkara itu kepada isterinya.

“Saya tidak akan beritahu dia, sekarang bukan masa yang sesuai. Buat masa ini saya tidak akan beritahu dia kerana keadaannya, dia akan tahu tetapi bukan sekarang.

“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk beritahu keadaan anak-anak, malah saya sendiri pun tertekan (disebabkan kejadian),” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam nahas kira-kira pukul 2.45 petang semalam, tiga anak pasangan itu maut di tempat kejadian apabila kereta jenis Perodua Axia dipandu Nur Aimi Nadiah terbabas lalu melanggar belakang sebuah treler yang berada di lorong kecemasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya