JOHOR BAHRU: Satu lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di negeri ini dikenali sebagai Kluster Bandar Impian dengan melibatkan Daerah Kluang sekali gus menjadikan kluster aktif sehingga kini meningkat kepada 15 kluster.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kluster itu juga melibatkan kawasan Pasir Putih, Kelantan dan Kuala Kangsar, Perak.
Katanya, kluster itu dikesan semalam melibatkan 22 kes daripada saringan kontak rapat kes Covid-19 dan 40 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.
“Kes indeks dikesan hasil saringan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dilaporkan pada 1 Disember lalu. Sehingga semalam, seramai 58 individu telah disaring di mana sembilan kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.
“Sebanyak 100 kes baharu yang dilaporkan di Johor semalam iaitu 38 kes daripada kluster-kluster sedia ada. Ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 2,193 kes,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Vidyananthan berkata, penyumbang utama kepada kluster baharu adalah disebabkan sikap segelintir masyarakat yang telah mula tidak peka tentang keperluan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.
Katanya, jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan warga emas juga amat membimbangkan dengan peningkatan kes berlaku terhadap golongan tersebut kebelakangan ini.
“Warga emas lebih lemah daya tahan terhadap sesuatu penyakit dan apabila dijangkiti Covid-19, peluang untuk pulih adalah tipis. Jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga emas juga boleh menyebabkan komplikasi yang teruk dan boleh membawa maut.
“Adalah lebih baik menjaga jarak fizikal satu meter apabila bertemu dengan mereka. Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai digalakkan untuk mengelak daripada bertemu dengan warga emas,” katanya. – UTUSAN ONLINE