Sasar 7 juta belia B40, 150,000 ibu tunggal ceburi bisnes - Utusan Malaysia

Sasar 7 juta belia B40, 150,000 ibu tunggal ceburi bisnes

ALEXANDER Nanta Linggi (kiri) beramah mesra dengan sebahagian anak-anak kakitangan KPDNHEP pada Majlis Pelancaran Program Jualan Kembali Ke Sekolah di KPDNHEP, Putrajaya, di sini, hari ini. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menjangka seramai 7.15 juta orang menerima manfaat Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, skim terkini itu yang dilaksanakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) malah diperluaskan lagi kepada dua kategori baharu.

Ini kerana sebelum itu ujarnya, inisiatif tersebut yang hanya dikenali sebagai Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan (S1P1P) lebih kepada pelajar pengajian tinggi tempatan berusia 18 tahun ke atas.

“Kali ini, ia dijenamakan semula sebagai SPPP dengan meliputi golongan belia dan ibu tunggal dalam kelompok B40 untuk dibantu SSM bagi mereka ceburi bidang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Jualan Kembali Ke Sekolah berlangsung selama tiga hari bermula semalam di lobi kementeriannya di sini hari ini.

Pada masa sama, Alexander turut melancarkan SPPP dengan menyerahkan sijil pendaftaran perniagaan kepada lima peserta terawal sekitar Lembah Klang melibatkan dua golongan itu..

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat 30 November lalu, S1P1P sudah berjaya mendaftar 65,037 penuntut iaitu masing-masing 27,249 pelajar lelaki dan 42,323 pelajar perempuan.

Alexander berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 61,667 pemohon S1P1P mendaftar untuk perniagaan jenis pemilikan tunggal dan baki hanya 3,370 penuntut secara perkongsian.

“Sehingga kini jumlah dana skim itu sudah digunakan RM3.93 juta dan ada baki RM6.07 juta. Justeru, SSM menambah dua lagi kategori baharu agar ramai berpeluang dibantu,” jelasnya.

Menerusi SPPP menggantikan S1P1P, beliau berharap sejumlah tujuh juta belia dan 150,000 ibu tunggal berpendapatan B40 meraih faedah termasuk pendaftaran SSM secara percuma.

Langkah itu ujar beliau bertepatan dengan usaha kerajaan bantu rakyat menjana pendapatan melalui perniagaan bagi menampung kehidupan, sekali gus merancakkan ekonomi negara.

“Skim terdahulu menyasarkan peruntukan RM10 juta disediakan kerajaan perlu habis sebelum 2026, namun jika sambutan baik, saya sedia memohon tambahan dana lagi.” kata Alexander.

Pemohon SPPP katanya, hanya perlu berumur 18 tahun ke atas dan maklumat diri ada dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional serta tiada rekod perniagaan masih aktif di SSM.

Pendaftaran skim ini boleh dibuat melalui pautan portal EzBiz Online iaitu ezbiz.ssm.com.my manakala maklumat lanjut, sila hubungi 03-77214000 atau e-mel [email protected]. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya