Sarjan Norihan jalani fisioterapi latih jalan - Utusan Malaysia

Sarjan Norihan jalani fisioterapi latih jalan

ROSMAN KASMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan Tari, 39, sudah memulakan rawatan fisioterapi berjalan menggunakan bantuan alat ‘reciprocal walking stick’.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA, Superintenden Rosman Kasman berkata, Norihan yang kini berada di wad biasa Hospital Pulau Pinang (HPP) juga semakin menunjukkan perkembangan yang progresif.

“Isteri Norihan memaklumkan suaminya kini boleh bangun dan baring selain tiub dari abdomennya telah dikeluarkan. Dia juga boleh makan bubur dan buah-buahan yang lembut.

“Hanya sebutir peluru dapat dikeluarkan dalam pembedahan tempoh hari manakala dua lagi peluru masih dalam badannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Rosman memberitahu, beliau juga telah mengunjungi anggota terbabit sejurus selesai menjalani pembedahan membuang peluru pada perut Khamis lalu.

“Saya sempat bertemu dengan Norihan bagi memberi kata-kata semangat kepada mereka. Isterinya ketika itu dilihat masih terkejut dan trauma tetapi dalam keadaan tenang.

“Saya menyatakan kepadanya insiden yang berlaku ke atas suaminya itu adalah kejadian bermaruah. Anggota bertempur dengan kumpulan penyeludup bagi menjaga keselamatan negara yang diamanahkan kepada mereka di perbatasan.

“Semangat juang anggota Senoi Praaq betul-betul sejati dalam diri mereka dan tidak berpatah balik walaupun berdepan dengan serangan,” jelasnya.

Dalam pada itu Rosman memberitahu, semangat rakan-rakan Norihan yang turut sama ditugaskan menjaga sempadan Malaysia-Thailand masih berkobar-kobar biarpun tugasan mereka tamat secara rasmi Selasa lalu.

“Mereka tidak mahu balik lagi kerana mengatakan ada misi yang belum selesai, saki baki penyeludup yang menembak rakan mereka masih bebas. Bagaimanapun mereka terpaksa akur dengan arahan yang diberi,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 3.10 pagi Selasa lalu, Norihan dan seorang lagi anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkena tembakan dipercayai oleh anggota kumpulan penyeludup ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis.

Bagaimanapun, Baharuddin maut di tempat kejadian selepas ditembak pada bahagian kiri perut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya