Sarjan Norihan berlinang air mata jumpa rakan batalion - Utusan Malaysia

Sarjan Norihan berlinang air mata jumpa rakan batalion

Norihan Tari (kanan) dan Rosman Kasman pada Majlis Menyambut Kepulangan Wira Negara itu di Ibu Pejabat Batalion 3 PGA, Bidor, Perak tengah hari semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan Tari, 39, tidak sabar untuk meneruskan operasi di lapangan selain tidak sedikit pun meluahkan rasa kesal dalam insiden tembakan di pos kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, 23 November lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA, Superintenden Rosman Kasman berkata, anggota terbabit telah dibenarkan keluar dari wad Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini pada pukul 9.30 pagi semalam.

Menurutnya, kepulangan Norihan ke Kem Batalion 3 PGA, Bidor di Perak disambut dengan penuh meriah pada Majlis Menyambut Kepulangan Wira Negara di lobi bangunan Ibu Pejabat itu tengah hari semalam.

“Dia (Norihan) kelihatan ceria sewaktu berjumpa dengan pegawai dan rakan seperjuangannya. Ketika dia berjumpa dengan saya tadi (semalam), kelihatan air matanya berlinang apabila kepulangannya disambut sebagai wira negara Orang Asli.

“Dia begitu bersemangat menceritakan tentang kejadian pada malam itu dan berharap segera sembuh untuk bersama-sama rakan seperjuangan meneruskan operasi yang seterusnya.

“Dia tidak sedikit pun mengatakan kekesalannya atas kejadian tersebut malah lebih bersemangat meneruskan kecemerlangan Senoi Praaq khasnya Batalion 3 PGA,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Rosman memberitahu, Norihan akan menjalani rawatan susulan di Hospital Teluk Intan, Perak memandangkan masih terdapat dua butir peluru pada tulang belakang dan tubuhnya.

Terdahulu, Norihan dibawa pulang dengan menaiki kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) de­ngan ditemani isterinya serta diiringi pegawai dan beberapa anggota.

Norihan menerima rawatan di HPP sejak 25 November lalu dan telah menjalani pembedahan membuang sebutir peluru pada perut sehari kemudian.

Dalam kejadian pada pukul 3.10 pagi, 23 November lalu, Norihan dan seorang lagi anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkena tembakan dipercayai oleh anggota kumpulan penyeludup ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis.

Bagaimanapun, Baharuddin maut di tempat kejadian selepas ditembak pada bahagian kiri perut.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya