Saringan besar-besaran di Sektor A Pulau Indah - Utusan Malaysia

Saringan besar-besaran di Sektor A Pulau Indah

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor bakal melaksanakan saringan secara bersasar dan besar-besaran di Central Spectrum iaitu Sektor A di Pulau Indah, Klang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,  langkah itu melibatkan 45  syarikat dan 102 premis.

“Ujian ini juga membabitkan sejumlah 1,200 penghuni yang majoritinya bukan warganegara dan diberi keutamaan kerana majoriti kes Covid-19 dicatatkan di lokaliti tersebut,” jelas beliau.

Bagaimanapun ujarnya, sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil saringan di Sektor A maka kawasan saringan akan diperluaskan lagi meliputi Sektor B dan seterusnya Sektor C.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sejumlah 28 pendatang asing tanpa izin ditahan menerusi Operasi Benteng semalam selain sebuah bot dan tiga kenderaan darat dirampas.

Sebanyak 118 sekatan jalan raya secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi dilaksanakan di seluruh negara bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak Covid-19.

“Sementara itu, sejumlah 690 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan mereka telah dikuarantin wajib di stesen ditetapkan kerajaan di seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Sejak 24 Julai hingga 8 Disember, 84,579 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan daripada jumlah itu, 542 individu dirawat di hospital manakala 71,587 lagi dibenarkan balik ke rumah.

Menyentuh pemeriksaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), 25 tapak binaan diperiksa di seluruh negara semalam dengan dua daripadanya tidak pula beroperasi.

Beliau menambah, sejak April hingga 8 Disember, penguat kuasa agensi tersebut sudah pun melakukan 13,845 pemeriksaan yang melibatkan 7,945 tapak binaan di seluruh Malaysia. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN