MB Kedah ucap takziah kepada Syafiq - Utusan Malaysia

MB Kedah ucap takziah kepada Syafiq

MUHAMMAD Syafiq Ahmad menyiram air di atas pusara anaknya Muhammad Aisy Saqeef, 22 hari untuk dikebumikan dalam satu liang lahad bersama jenazah ibu mentuanya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Murai, Kampung Padang Pusing, Pendang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mengucapkan takziah kepada pemain skuad Kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad yang kehilangan anak lelaki dan ibu mentuanya hari ini.

Beliau berkata, kehilangan anaknya, Muhammad Aisy Saqeef, 22 hari, dan ibu mentuanya, Zainab Wahab, 46, suatu yang menyedihkan buat pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri Kedah mengucapkan takziah kepada keluarga Muhammad Syafiq dan berharap mereka tabah menghadapi ujian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Murai Kampung Padang Pusing di sini malam ini.

Muhammad Syafiq juga merupakan bekas pemain Kedah.

Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) juga berharap agar rakan-rakan sepasukan serta saudara untuk terus memberi semangat kepada mereka sekeluarga.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi hari ini, Muhammad Syafiq yang juga penyerang pasukan JDT terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan bayi lelakinya dalam kejadian di Lebuh Raya Utara Selatan di Sungai Bakap.

Kemalangan turut mengakibatkan ibu mentua Muhammad Syafiq, Zainab dan warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an maut.

Sementara, Muhammad Syafiq dan seorang lagi anak, Aaira Nur Saffiya, cedera ringan manakala isterinya, Nur Amalina dilaporkan cedera parah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN