PUTRAJAYA: Tertarik seni bina unik Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang ada elemen Rusia, negara terbesar di dunia itu melahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan pihak masjid di sini.
Malah, Pejabat Kedutaan Besar Rusia ke Malaysia menerusi Pusat Kebudayaan dan Sains Rusia (RCSC) di Kuala Lumpur bersedia merangka pelbagai program untuk dimanfaatkan kedua-dua pihak.
Perkara itu antara dizahirkan Penolong Duta Besarnya, Pavel Naydenov dalam pertemuan khas dengan Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nor Azamir Alias di sini hari ini.
“Kami ada merancang banyak aktiviti yang diharap mampu memberi kefahaman kepada umat Islam negara ini selain rakyat Rusia sendiri lebih dekati Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau yang mewakili Duta Besar Persekutuan Rusia, Nayil Latypov, hadir menyampaikan sumbangan 50 naskhah buku ‘Berkenalan Dengan Rusia’ untuk kegunaan masjid berkenaan.
Buku setebal 30 halaman dalam bahasa Melayu tulisan Pegawai Perhubungan Awam RCSC, Thaqib Shaker itu menceritakan perkembangan Islam di Rusia yang kurang diketahui ramai.
RCSC yang ditubuhkan sejak 1989 di bawah kedutaan negara itu kini aktif mengadakan pelbagai usaha pertukaran budaya, bahasa, pendidikan dan kerjasama kemanusiaan di negara ini.
“Kami sendiri sedia membawa Duta untuk melakukan kunjungan hormat terhadap Imam Besar dan menunaikan solat Jumaat di masjid indah ini,” katanya yang fasih dalam bahasa Melayu.
Pavel turut membayangkan pihak kedutaan menerbitkan brosur mengenai masjid itu dalam bahasa Rusia sendiri untuk diedarkan di negara itu dan banyak negara bekas Kesatuan Soviet.
Pada masa sama, brosur mengenai ribuan buah masjid di seluruh Rusia akan diedarkan di negara ini bagi diberi pendedahan kisah sebenar kemajuan agama Islam di negara tersebut.
“Ini boleh dijadikan sebagai langkah pertama bagi meraikan perbezaan budaya dua negara dan siapa tahu, mungkin ada dialog ‘online’ imam dengan masjid besar Moscow,” kata Pavel.
Beliau merujuk Masjid Katedral yang terbesar di ibu kota Rusia berkapasiti 10,000 jemaah dirasmikan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan kerajaan Malaysia ada sumbang dana pembinaannya.
Dalam pada itu, Thaqib menjelaskan, pihak RCSC ada merancang untuk menganjurkan banyak aktiviti dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, antaranya sesi kelas tulisan jawi bagi warga Rusia.
“Bahkan kami ada hasrat mengadakan program pertukaran imam antara masjid ini dengan Masjid Katedral bagi memimpin solat berjemaah seperti sembahyang sunat tarawih.” katanya.
Beliau yang juga penyumbang rencana di Utusan Malaysia memaklumkan terdapat hampir 20 juta umat Islam di Rusia dengan lebih 8,000 buah masjid termasuk empat di sekitar Moscow. -UTUSAN ONLINE