TAMPIN: Sebuah rumah di Kampung Baru Sungai Kepong, Gemencheh, dekat sini, musnah 80 peratus dalam kejadian kebakaran tengah malam tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Norfaizal Ahmad, sepasukan anggota bomba dari balainya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 12 tengah malam.
Katanya, bomba tiba di lokasi pada pukul 12.15 tengah malam dan sebaik tiba rumah berkenaan sedang terbakar.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah kayu separuh kekal keluasan 30×40 kaki yang dianggarkan musnah sebanyak 80 peratus.
“Ketika kejadian tiada penghuni di rumah kerana dipercayai buat sementara ini menetap bersama anaknya di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Norfaizal berkata, pihaknya menerima bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas bagi memadam kebakaran.
Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian bagaimanapun masih dalam siasatan. – UTUSAN