Rumah mampu milik di Johor tidak cukup - Utusan Malaysia

Rumah mampu milik di Johor tidak cukup

AYUB JAMIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI : Jumlah rumah mampu milik di Johor dilihat masih tidak mencukupi berdasarkan kepada permintaan rakyat yang kini melebihi penawaran.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ayub Jamil berkata, terdapat 11,128 unit rumah mampu milik telah disiapkan sejak 2018 sehingga kini manakala sasaran tahun depan pula adalah 1,579 rumah.

Katanya, setelah mengakui permintaan melebihi penawaran dan masih tidak mencukupi, kerajaan negeri telah menggariskan beberapa langkah untuk mengatasi masalah tersebut.

“Antara langkah tersebut adalah mewujudkan kempen Transisi 2.0 iaitu satu insentif galakkan kepada pihak pemaju untuk terus membina rumah mampu milik.

“Menerusi usaha ini, pemaju diberi pilihan untuk meminda komponen rumah kos rendah dan kos sederhana rendah yang masih belum dibina untuk dipinda kepada komponen Rumah Mampu Biaya Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Zulkurnain Kamisan (BN-Sri Medan) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ayub menambah, kerajaan negeri telah menetapkan agar setiap pemaju supaya menyediakan rumah mampu milik sekurang-kurangnya 40 peratus bagi projek pembangunan yang dijalankan.

Katanya, pihak kerajaan negeri juga telah menjalinkan usaha sama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menambahkan lagi kuantiti rumah mampu milik.

“Antara syarikat yang terlibat adalah Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Perbadanan Islam Johor (PIJ).

“Melalui inisiatif ini, dijangka pembangunan rumah mampu milik akan disediakan adalah sebanyak 1,427 unit,” katanya.

Ayub memberitahu, Kerajaan Pusat telah memperuntukan dana bagi membina dan menyiapkan projek perumahan rumah mampu milik.

Beliau berkata, ia membabitkan projek di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), PR1MA dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Kita menyambut baik dan mengalu-alukan usaha sama Kerajaan Pusat bagi memenuhi impian rakyat untuk memiliki kediaman yang selesa serta harga yang berpatutan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya