TEMERLOH: Tiupan tetuang sebelum ini kedengaran asing bagi kebanyakan orang termasuk kaum Melayu sendiri apatah lagi generasi selepas pasca merdeka yang lebih terdedah dengan alat komunikasi moden.
Menyedari tetuang semakin pupus, aktivis budaya, Rozali Abdul Rani, 47, mengambil inisiatif membuat dan memperkenalkan tetuang atau trompet Melayu itu kepada generasi masa kini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau bersyukur usahanya menampakkan kejayaan kerana generasi baharu semakin mengenali alat komunikasi penting zaman silam itu.
Beliau yang berasal dari Kuala Mai, Kuala Krau dekat sini membuat tetuang di bengkel rumahnya di Taman Setia Jaya di sini sejak 1996, sebagai usaha murni untuk menghidupkan kembali alat komunikasi orang Melayu itu.
“Sepanjang tempoh lebih 20 tahun itu, saya banyak menyertai program bagi memperkenalkan tetuang antaranya program anjuran Yayasan Alam Sekitar Sultan Ahmad Shah (SASET) di Taman Negara Pahang tahun lalu.
“Usaha ini tidak akan terhenti sebaliknya saya tekad untuk terus mempopularkan tiupan klasik tetuang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rozali berkata, tetuang diperbuat daripada tanduk yang boleh mengeluarkan bunyi dan gema melalui getaran udara yang dihasilkan dengan teknik tiupan dan digunakan untuk memanggil atau memberitahu pada masa dahulu.
Menurutnya, tiupan tetuang agak eksklusif kerana ian hanya digunakan dalam situasi tertentu seperti menyambut kerabat diraja, tetamu kehormat, majlis keraian dan kecemasan.
“Pada masa dahulu, tetuang tidak dimiliki oleh sebarangan orang, biasanya ia akan dipegang oleh ketua kampung, penghulu ataupun individu yang dipertanggungjawabkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE