PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM3 bilion bagi tujuan perolehan vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan sehingga 70 peratus populasi negara atau 22.4 juta orang.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menjelaskan, ia sekali gus menafikan dakwaan beberapa pemilik akaun di laman media sosial Facebook apabila membuat tuduhan tidak benar bahawa kerajaan telah membayar RM3 bilion untuk pembelian 10 juta dos vaksin Covid-19.
Katanya, perkara itu sudah beberapa kali dijawab Menteri, Khairy Jamaluddin ketika persidangan Dewan Rakyat yang lalu.
Terbaharu, menurutnya, kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal Astra Zeneca bagi perolehan sebanyak 6.4 juta dos atau tambahan sebanyak 10 peratus lagi.
“Ini bermakna jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus telah pun diperoleh menerusi perjanjian bersama fasiliti COVAX, syarikat Pfizer dan syarikat AstraZeneca.
“Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kementerian itu turut memberitahu, melalui kesemua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai buat masa ini, kerajaan akan membelanjakan sejumlah AS$504.4 juta (RM2.05 bilion) bagi perolehan vaksin Covid-19.
Jumlah 80 peratus itu, jelasnya melebihi sasaran awal iaitu untuk memberikan vaksin kepada 70 peratus rakyat Malaysia.
Sehubungan dengan itu, kementerian meminta agar orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membuat dan menyebarkan maklumat tidak sahih dan palsu tanpa merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan kerajaan.
“Kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas sebarang kenyataan yang tidak berasas serta tidak benar yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai,” katanya. -UTUSAN ONLINE