KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan bagi menyokong pelaksaan inisiatif program Heart of Borneo (HoB).
Selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, peruntukan tersebut diluluskan sebagai usaha konservasi kepelbagaian biologi di kepulauan Borneo.
“Kerajaan Persekutuan komited untuk meneruskan pelaksanaan inisiatif HoB ini bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan meluluskan sebanyak RM11.26 juta pada tahun 2021 bagi melaksanakan projek dan aktiviti di bawah inisiatif HoB.
“Kesinambungan pelaksanaan inisiatif HoB di bawah RMKe-12 amat penting selaras dengan matlamat pengurusan hutan secara berkekalan dan usaha konservasi kepelbagaian biologi di kepulauan Borneo khususnya, dan Malaysia secara amnya,” katanya dalam kenyataan semalam.
Malaysia, Brunei dan Indonesia bersepakat menandatangani Deklarasi Heart of Borneo (HoB) pada tahun 2007.
Jumlah keluasan kawasan yang terbabit di bawah Inisiatif HoB adalah sebanyak 20 juta hektar di mana 6.8 juta hektar daripada kawasan tersebut terletak di Negeri Sabah dan Sarawak.
Shamsul Anuar turut menzahirkan penghargaan beliau kepada negeri-negeri yang terlibat dalam usaha dan kerjasama mereka menjayakan inisiatif tersebut.
“Saya merakamkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak di atas usaha dan komitmen berterusan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan inisiatif HoB ini.
“Sehingga kini, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan sebanyak RM90.3 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-9 hingga RMKe-11 bagi membiayai projek-projek di bawah inisiatif HoB di negeri Sabah dan Sarawak,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE