RM1.316 bilion tuntutan GST tidak dapat diproses - Utusan Malaysia

RM1.316 bilion tuntutan GST tidak dapat diproses

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan sebanyak 82,517 tuntutan pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) membabitkan nilai RM1.316 bilion tidak dapat diproses dan dibayar balik.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, daripada jumlah tuntutan itu, ia membabitkan 48,225 syarikat.

Katanya, pembayaran balik GST sudah dimulakan pada 22 Jun lalu dan dijangka selesai bulan ini yang mana sehingga 30 November lalu, pembayaran balik GST berjumlah RM4 bilion membabitkan 27,426 syarikat dan 40,280 tuntutan sudah selesai.

“Antara masalah yang dihadapi JKDM untuk memproses tuntutan itu adalah kerana penuntut gagal memberi maklum balas bagi mengemukakan dokumen yang dikehendaki dan maklumat bank yang tidak sah.

“Ia berpunca kerana penuntut tidak mengemas kini maklumat pendaftaran syarikat seperti alamat perniagaan, nombor telefon dan e-mel dalam sistem MyGST yang menyebabkan notis atau surat pemakluman tidak sampai ke pengetahuan penuntut,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Abdul Latif berkata, semua syarikat yang belum menerima tuntutan pembayaran balik GST disaran mengemas kini maklumat pendaftaran dan maklumat bank di dalam Taxpayer Access Point (TAP) dan MyGST.

“Penuntut juga boleh menghubungi JKDM melalui emel Cawangan Kawalan Operasi dan Pulang balik di [email protected],” katanya.

Jun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, melalui kenyataan media berkata JKDM sudah diarahkan untuk mempercepatkan proses bayaran balik GST yang tertangguh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sepanjang dalam tempoh itu, jelas Zafrul, audit syarikat tidak dapat dibuat dan Kementerian bersetuju untuk JKDM melaksanakan kaedah bayar dahulu dan audit kemudian bagi syarikat terpilih berdasarkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 dan juga kriteria tertentu.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya