SEPANG: “Saya tidak mahu terperangkap dengan soalan macam ini”
Itu reaksi Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Mohd. Harun ketika ditanya mengenai kemungkinan akan bertanding di Parlimen Sepang pada piliharaya umum akan datang.
Menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan, Rina memaklumkan tumpuannya kini hanyalah menjalankan tugas selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Mak saya memang berasal dari Sepang, tanggungjawab saya membantu rakyat, lagi pun saya juga Ketua Srikandi Bersatu Selangor,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Penyampaian Sumbangan Barangan Keperluan Asas kepada keluarga B40 Kampung Bukit Bangkong di Dewan Sekolah Kebangsaan Sungai Rawang Sungai Pelek, Sepang, hari ini.
Rina yang ketika ini merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa sejak 2018 dikhabarkan bakal bertanding di Parlimen Sepang memandangkan beliau kini semakin aktif menjalankan program-program akar umbi membantu rakyat khususnya di Sepang.
Parlimen Sepang ketika ini diwakili Mohamed Hanipa Maidin dari Parti Amanah Negara (Amanah).
Mengulas mengenai program yang diadakan, Rina memaklumkan seramai 50 keluarga menerima bantuan keperluan asas terdiri dari golongan B40.
“Program ini dijayakan melalui pertubuhan bukan Klkerajaan (NGO) yang menyalurkan permohonan dari keluarga yang terkesan Covid-19 dan golongan yang memerlukan kepada Kementerian,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE