Residensi Bukit Gelugor dibangunkan dengan model perniagaan baharu PR1MA - Utusan Malaysia

Residensi Bukit Gelugor dibangunkan dengan model perniagaan baharu PR1MA

ZURAIDA Kamaruddin (tiga dari kanan) ketika merasmikan majlis pecah tanah Residensi Bukit Gelugor semalam yang merupakan projek pertama PR1MA di kawasan pulau, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Residensi Bukit Gelugor di sini menjadi projek Perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang pertama di negeri ini dibangunkan dengan model perniagaan terbaharu agensi berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, model perniagaan PR1MA bagi projek berkenaan menyaksikan usaha sama Kerajaan Persekutuan menerusi PR1MA, pemaju Ideal Property Group dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi memenuhi keperluan perumahan mampu milik kepada rakyat.

Menurut beliau, projek itu juga merupakan projek pertama PR1MA di kawasan pulau negeri ini.

“Model perniagaan terbaharu ini tidak memerlukan pelaburan tinggi oleh kerajaan, PR1MA memberi tanah kepada pemaju untuk bangunkan kediaman yang mampu dimiliki oleh rakyat termasuk golongan B40,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis pecah tanah Residensi Bukit Gelugor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo.

Projek Residensi Bukit Gelugor akan mula dibina awal tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Sebelum ini, lebih 50 unit kuarters Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di kawasan Kampung Kastam di Bukit Gelugor di sini dirobohkan pada 2017 bagi memberi laluan kepada projek PR1MA di kawasan berkenaan.

Menurut Zuraida, projek Residensi Bukit Gelugor itu bakal menyediakan 2,850 unit rumah mampu milik dengan harga bermula RM300,000 namun dengan kelengkapan bertaraf kondominium.

“Unit-unit yang ditawarkan kepada pembeli merangkumi pelbagai harga mengikut permintaan dan kemampuan pembeli.

“Pembeli yang berminat boleh mengemukakan permohonan kepada pemaju dan kerajaan negeri akan membuat tapisan bagi memastikan hanya yang layak memperolehi rumah berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah dimaklumkan secara rasmi terdapat empat projek PR1MA di negeri ini dalam peringkat perancangan dan peringkat awal pembinaan termasuk dua projek di kawasan Bukit Gelugor.

“Dua lagi tanah yang bakal dibangunkan PR1MA adalah di kawasan Batu Ferringghi serta Seberang Perai dan akan dimajukan selepas isu berkaitan tanah di situ diselesaikan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya