LANGKAWI: Dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 14 tahun ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis heroin di kawasan Bukit Malut di sini semalam.
Kedua-dua suspek ditahan dalam dua tangkapan berasingan dalam Op Tapis kira-kira pukul 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, tangkapan pertama melibatkan suspek berusia 20 tahun yang memegang kotak plastik kecil dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan mendapati kotak tersebut mengandungi sembilan tiub straw berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan berat kira-kira 4.75 gram,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, suspek kedua iaitu remaja berusia 14 tahun ditahan pada pukul 6 petang hari yang sama.
“Semasa ditahan, suspek memegang satu peket plastik lutsinar dan pemeriksaan lanjut mendapati ada sembilan tiub straw mengandungi dadah disyaki heroin seberat kira-kira 1.9 gram,” jelasnya.
Tambahnya, suspek pertama mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta positif dadah manakala suspek kedua tiada rekod lampau dan negatif dadah.
“Suspek pertama disiasat di bawah Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan suspek kedua pula di bawah Seksyen 12(2) akta yang sama,” katanya. – UTUSAN ONLINE