GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memohon pertimbangan serta campur tangan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan berhubung kelulusan permit yang diberikan Kedah kepada sebuah syarikat bagi penerokaan mineral nadir bumi (REE) di Ulu Muda, Sik dan Baling.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Pusat terutama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Kementerian Sumber Asli dan Tenaga dan Majlis Keselamatan Negara perlu memastikan usaha berbahaya itu dihentikan serta-merta bagi menjamin keselamatan bekalan air di negeri-negeri utara.
Menurut beliau, Menteri Besar Kedah dengan mudah telah melupakan peranan yang telah dimainkan oleh Hutan Simpan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air terbesar dan terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Ujar beliau, kira-kira 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah datangnya dari Ulu Muda manakala lebih 80 peratus air mentah yang diabstrak oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dari Sungai Muda, dekat muka sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang juga berasal dari Ulu Muda.
Tambahnya, operasi penerokaan berskala besar seluas 163,000 hektar ini sudah pasti akan melibatkan pembukaan tanah secara berskala besar.
“Aktiviti penebangan pokok, perataan bukit, kerja mendirikan kuari besar dan menggali ke bumi akan menyebabkan kemusnahan besar di persekitaran hutan hujan.
“Aktiviti perlombongan turut akan memberi kesan buruk kepada Sungai Muda yang menjadi sumber air mentah yang strategik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kerajaan negeri Kedah sebelum ini mengumumkan penemuan mineral baharu REE di Sik dan Baling yang dianggarkan bernilai RM62 bilion sekali gus disifatkan bakal memberi pendapatan baharu kepada negeri tersebut.
Difahamkan, pelaksanaan penerokaan REE itu telah diluluskan kepada sebuah syarikat di Kuala Lumpur yang akan bekerjasama dengan syarikat antarabangsa. – UTUSAN ONLINE