DUNGUN: Ahli Dewan Negara, Datuk Razali Idris hari ini menawarkan diri menjadi individu kedua menerima suntikan vaksin Covid-19, selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Razali berkata, tawaran sukarela itu bagi membuktikan kepada masyarakat vaksin itu benar-benar selamat dan berkesan, sekali gus menghapuskan pertikaian sesetengah pihak mengenai harga vaksin tersebut.
“Sekarang ini ada pihak yang mempertikai mengenai harga vaksin yang diperoleh kerajaan.
“Pada saya harga vaksin tidak perlu didedahkan kepada sesiapa, mungkin kita (kerajaan) mendapat vaksin daripada pengeluar dengan harga yang lebih murah dari negara lain atau pengeluar itu mahu menolong negara kita dengan cara memberi diskaun,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis program turun padang di Padang Pulut di sini hari ini.
Razali berkata ketika ini, vaksin tersebut telah digunakan di Singapura dan terbukti berkesan.
“Apa yang penting sekarang ialah kita mahu membuktikan vaksin itu boleh mendatangkan kebaikan atau keburukan, jadi saya menawarkan diri menjadi orang kedua menerima suntikan vaksin selepas Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN