Putra lapor SPRM perbualan Takiyuddin, Tengku Zafrul - Utusan Malaysia

Putra lapor SPRM perbualan Takiyuddin, Tengku Zafrul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat mengenai rakaman perbualan dalam aplikasi WhatsApp antara Datuk Takiyuddin Hassan dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkaitan projek pembangunan di Kedah.

Perkara itu dilihat serius kerana ia melibatkan kepentingan umum selain telah disebarkan menerusi media sosial sejak minggu lalu.

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, ini kerana ia melibatkan pemberian kontrak bernilai RM550 juta dan dibimbangi berlaku salah guna kuasa dan penyelewangan.

Menurut beliau, perbualan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan Menteri Kewangan itu adalah melibatkan dua individu yang berpengaruh.

“Walaupun pemberian projek ini melalui rundingan terus dengan syarikat Taliworks Corporation Bhd. tidak salah, tetapi, ada perkara yang meragukan.

“Ibu Tengku Zafrul iaitu Raja Datuk Zaharaton Raja Zainal Abidin adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di syarikat itu.

“Pengarah Eksekutifnya, Datuk Lim Yeow Boon pula dikaitkan dengan anak lelaki Perdana Menteri iaitu Fakhri Yassin Mahiaddin melalui syarikat Thriven Global Berhad,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas membuat laporan berhubung perkara tersebut di Ibu Pejabat SPRM negeri Perak di Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Menurut Hamidah, beliau juga keliru mengapa Takiyuddin dilantik Perdana Menteri sebagai Menteri Penyelaras antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Kedah berkuat kuasa mulai 1 September 2020.

“Adalah sesuatu yang ganjil apabila Takiyuddin memegang jawatan tersebut dan ingin tahu adakah di negeri-negeri lain juga mempunyai jawatan sama  selaku menteri penyelaras antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman perbualan melalui aplikasi WhatsApp antara Takiyuddin dan Zafrul berkaitan penglibatan anak syarikat kerajaan negeri Kedah Bina Darulaman Berhad (BDB) dan cadangan penglibatan rakan usahasama Taliworks Corporation dalam projek pembangunan di negeri berkenaan.

Ia kemudian mencetuskan dakwaan di media sosial bahawa Takiyuddin menjadi ejen kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor dalam membuat rundingan secara terus terhadap projek berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya