Pulau Pinang alu-alukan keputusan kekal feri ikonik - Utusan Malaysia

Pulau Pinang alu-alukan keputusan kekal feri ikonik

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang mengalu-alukan keputusan Kerajaan Pusat untuk mengekalkan perkhidmatan feri seperti sedia ada di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau berharap perkara itu akan menjadi realiti dan perkhidmatan feri itu yang menjadi ikonik dan warisan negeri ini sejak sekian lama akan terus beroperasi.

“Saya mendapat tahu mengenai perkara ini pagi ini dan mengalu-alukannya supaya perkhidmatan feri ini akan terus dinikmati bukan sahaja oleh penduduk tempatan malah orang luar dan pelancong,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sidang Dewan Rakyat pagi ini berkata, Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) akan ‘disyaratkan’ untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang sudah menjadi ikonik dan warisan di negeri ini buat masa ini.

Ini kerana, ujar beliau, Kerajaan Pusat sebelum ini meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk PPSB mengendalikan perkidmatan feri itu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengumumkan perkhidmatan feri  sedia ada akan ditamatkan bermula 1 Januari depan yang mana kenderaan empat roda tidak lagi dapat menggunakan perkhidmatan tersebut.

Bermula tarikh sama juga, feri ikonik sedia ada hanya boleh digunakan oleh penunggang basikal dan motosikal manakala bot laju akan digunakan oleh penumpang individu.

Pelaksanaan perkhidmatan feri baharu itu akan berjalan sepanjang tempoh interim sehingga Jun 2022 sebelum katamaran atau teksi air digunakan sepenuhnya dengan feri ikonik sedia ada akan dijadikan muzium dan restoran terapung.

Menurut Kon Yeow, keputusan mengekalkan feri sedia ada itu juga selari dengan pendirian kerajaan negeri ini serta penduduk Pulau Pinang yang mahukan perkhidmatan feri yang berusia 126 tahun tersebut terus beroperasi.

Tambahnya, beliau memahami  adalah berisiko untuk meneruskan perkhidmatan sedia ada sekiranya piawaian keselamatan feri gagal dipatuhi dan kos baik pulihnya pula adalah tiga kali ganda lebih mahal berbanding penggunaan katamaran.

Namun, ujar beliau, perkara itu boleh diatasi sekiranya Kerajaan Pusat memberi peruntukan secukupnya kepada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan PPSB untuk mengekalkan perkhidmatan feri seperti sedia ada.

“Isunya hanyalah melibatkan kos, jika Kerajaan Pusat boleh memberi peruntukan sebanyak RM30 juta untuk naik taraf perkhidmatan feri termasuk membeli katamaran, mengapa Kementerian Kewangan tidak boleh menambah menjadi RM90 juta untuk menempah feri ikonik baharu bagi menggantikan feri sedia ada yang tidak menepati piawaian keselamatan?

“Apatah lagi PPSB sendiri memaklumkan mereka tidak mempunyai masalah untuk mengendalikan perkhidmatan feri ikonik tersebut sekiranya aset-aset itu dibiayai oleh Kementerian Kewangan atau Kerajaan Pusat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya