Prolintas edar 100,000 pelekat anti rasuah, catat rekod MBOR - Utusan Malaysia

Prolintas edar 100,000 pelekat anti rasuah, catat rekod MBOR

NOR Azmi (depan) menampal pelekat kenderaan di kereta peronda PROLINTAS sambil diperhatikan Malik Parvez (kanan sekali) di Plaza Tol Alam Impian, Seksyen 35, Shah Alam, Selangor hari ini. -UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi syarikat pertama mengedar pelekat kenderaan paling banyak di negara ini.

Pelekat kenderaan bertulis ‘Putuskan Rantaian Rasuah’ itu turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pengedaran sebanyak 100,000 pelekat di empat lebuh raya di sekitar Lembah Klang hari ini.

Ketua Pegawai Operasi (Komersial & Kewangan) Prolintas, Malik Parvez Ahmad berkata, pengedaran itu dilakukan bersempena sambutan Hari Integriti 2020 syarikat konsesi tersebut.

“Pelekat anti rasuah pada kenderaan ini diedarkan di sembilan plaza tol melibatkan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK).

“Semua pelekat khas ini berjaya diedarkan kepada hampir 100,000 pengguna jalan raya dalam tempoh sehari sekali gus mencatat rekod dalam MBOR,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Plaza Tol Alam Impian, Seksyen 35 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Nor Azmi Karim.

Dalam pada itu, Malik berkata, pengiktirafan rasmi itu akan disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam tempoh terdekat.

Katanya, inisiatif pengedaran pelekat itu membuktikan komitmen tinggi pihaknya dalam memerangi gejala rasuah.

“Prolintas amat mengutamakan amalan integriti dalam menjalankan perniagaan bersama semua rakan niaga.

“Oleh demikian, kita turut mahu memupuk kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya untuk bersama membanteras rasuah daripada terus berleluasa,” katanya.

Sementara itu, Nor Azmi memuji inisiatif murni syarikat tersebut yang dianggap bertepatan dengan sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) tahun ini.

“Lebuh raya sememangnya menjadi antara jalan utama pengguna dan pengedaran pelekat itu sekali gus turut membantu SPRM dalam kempen memerangi rasuah.

“Usaha membanteras bukan hanya terletak kepada kita semata-mata namun memerlukan kerjasama semua pihak termasuk syarikat korporat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya