KUALA LUMPUR – Seramai 50 individu berpendapatan rendah (B40) dan orang kurang upaya (OKU) menerima sumbangan barangan keperluan harian menerusi Program Ziarah Kasih anjuran UMNO Bukit Bintang.
Program berkenaan bertujuan memberi semangat kepada individu yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 selain program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Sebanyak dua kawasan terlibat dalam program berkenaan iaitu Kampong Semerang dan Kampung Baru, Salak Selatan, di sini.
Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Abidin Mohd Rafique berkata, usaha yang dianjurkan itu antara inisiatif bagi menunjukkan pihaknya komited untuk membantu golongan B40, keluarga miskin, warga emas dan OKU dalam mendepani hari yang mencabar ketika ini.
“Kita berharap dengan sumbangan kecil ini, penerima tidak merasa terpinggir atau serba kekurangan dan tertekan untuk menanggung bebanan kos perbelanjaan harian semakin tinggi,
“Selain itu, inisiatif kebajikan ini juga memberi peluang untuk menyumbang kembali kepada komuniti malahan memberikan kegembiraan buat semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Ziarah Kasih UMNO Bukit Bintang di Dewan Orang Ramai Kampung Baru, Salak Selatan, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Penolong Pengurus Cawangan Parlimen Bukit Bintang, Mohd Zayadi Md Zain dan Pengerusi Sub Zon 6, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP), Bukit Bintang, Kamarulzaman Mohamad Sharif.
Terdahulu, program berkenaan turut dilengkapi dengan sesi menziarahi dua rumah penerima juga keluarga OKU.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata, program CSR siri kelima itu adalah inisiatif pihaknya yang dijalankan pada setiap Sabtu.
“Program ini turut mendapat berkerjasama dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan senarai nama penerima dan harap sumbangan dapat disampaikan kepada lebih ramai lagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE