Program TV pun tidak terkecuali patuh SOP - Utusan Malaysia

Program TV pun tidak terkecuali patuh SOP

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua peserta dalam mana-mana program televisyen tempatan wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk isu penjarakan fizikal.

Perkara itu ditegaskan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya wartawan selepas sidang akhbar berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dekat sini hari ini.

“Tiada sesiapa yang boleh terlepas sekiranya didapati melanggar undang-undang terutama pematuhan SOP sepanjang tempoh PKPP,” tambahnya.

Beliau turut mengulas ada program hiburan di televisyen yang jelas menyaksikan penghibur tidak menjaga penjarakan fizikal semasa persembahan berlangsung malah di belakang tabir.

Ini menyebabkan ramai dalam kalangan penonton tidak berpuas hati seolah-olah para peserta terlibat bebas daripada dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana ingkar SOP digariskan.

“Jika betul ada berlaku, tindakan sepatutnya boleh diambil kerana setiap program dirakamkan itu memang pun ada anggota polis atau Rela yang ditugaskan memantau keadaan,” jelas beliau.

Ditanya mengenai kekeliruan isu pemakaian pelindung muka (face shield), Ismail Sabri memaklumkan bahawa pihak Kementerian Kesihatan belum pernah membenarkan alat itu dipakai tanpa pelitup muka.

Sebaliknya mereka yang mengenakan set pelindung wajah tersebut sebenarnya masih lagi wajib menyarung pelitup muka apabila berada di tempat awam khasnya yang agak sesak.

“Pengecualian peraturan ini hanya melibatkan kelonggaran kepada anak kecil atau pelajar sekolah, sedangkan untuk orang dewasa kena memakai kedua-duanya itu sekali,” katanya.

Beliau turut menjawab rungutan penumpang kerana ada operator udara didakwa sengaja menunda jadual penerbangan dan menyusahkan terpaksa membuat ujian saringan sekali lagi.

Namun, Ismail Sabri apabila ditanya isu itu menjelaskan memang sudah dimaklumkan dan akan mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) segera berbincang dengan syarikat terlibat.

Perkara tersebut ujarnya, tidak wajar berlaku kerana penumpang Sabah dan Sarawak yang mahu pulang ke negeri mereka terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi ujian baharu pula.

“Saya telah mengarahkan MKN buat perbincangan lanjut dengan syarikat penerbangan untuk menyelesaikan segera masalah itu agar penumpang tidak lagi teraniaya selepas ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya