Program parol berjaya kurang kesesakan penjara - Abdul Aziz - Utusan Malaysia

Program parol berjaya kurang kesesakan penjara – Abdul Aziz

“PROGRAM Reintegrasi Penghuni ini bukan sahaja mengurangkan kesesakan dalam penjara malah ibarat sinar kepada banduan." - Abdul Aziz Abdul Razak 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,432 banduan kategori Orang Di Parol (ODP) telah kembali ke pangkuan masyarakat tahun ini, menjadikan keseluruhan 37,330 banduan menjalani pemulihan di luar tembok penjara di bawah sistem parol dan Program Reintegrasi Penghuni (PRP).

Menerusi program berke­naan, ia bukan sahaja mengurangkan kesesakan dalam penjara malah ibarat sinar kepada banduan terbabit apabila mereka ditempatkan dalam program latihan industri di pelbagai sektor se­perti pembuatan, pembinaan, perindustrian dan perladangan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah (Pemasyarakatan) Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata, daripada jumlah ODP itu, sebanyak 2,949 telah kembali tinggal di kediaman masing-masing bersama keluarga dalam tempoh pelaksanaan parol.

Sebanyak 2,483 ODP lagi memilih untuk bekerja bersama 96 syarikat termasuk syarikat terkemuka membabitkan 153 kawasan di seluruh negara ketika ini.

“Menerusi sistem ini membolehkan banduan menghabiskan baki hukuman di luar penjara, jadi memudahkan mereka mendekatkan diri dengan ke­luar­ga serta masyarakat.

“Bukan sekadar itu, ia juga membantu menjimatkan kos kerajaan apabila banduan yang menjalani parol tidak lagi tinggal di dalam penjara malah pelaksanaan sistem ini juga begitu berkesan apabila kadar jenayah berulang ODP adalah di bawah 0.46 peratus,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

BANDUAN terlibat program parol diberi pendedahan latihan industri termasuk kemahiran menjahit.

Memandangkan ketika ini penjara menempatkan 67,000 banduan sedangkan, kapasiti sebenar hanya 52,000 orang, kata Abdul Aziz, satu lagi alternatif diambil Jabatan Penjara ialah Program Reintegrasi Penghuni.

Ujarnya, ketika ini, sebanyak 1,400 banduan yang masih mempunyai baki hukuman enam bulan atau tidak melebihi tiga tahun layak dipertimbangkan untuk mengikuti program ini.

Jelasnya, kesemua banduan yang dikategorikan sebagai Orang Di Selia (ODS) ditempatkan di enam kem tentera bagi menjalani baki hukuman di luar tembok dengan diberikan latihan kemahiran bersijil.

Bagaimanapun, katanya, ko­laborasi bersama enam kem tersebut akan berakhir hujung tahun ini dan menyebabkan ODS sedia ada akan dipindahkan ke enam kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) awal tahun depan.

“ODS akan dipindahkan di kem PLKN yang terletak di lima negeri iaitu Selangor, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Sabah pada satu tarikh ditetapkan nanti yang mana, di sana ODS akan dikawal selia oleh pegawai dan anggota daripada Jabatan Penjara sendiri.

“ODS yang mempunyai kemahiran dan berkelayakan akan diberikan peluang untuk bekerja di syarikat korporat yang bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia . Tahun ini, sebanyak 126 ODS telah diambil bekerja membabitkan 15 syarikat sekali gus membantu ODS bersedia menjalani kehidupan yang sempurna dan terjamin dengan memiliki pekerjaan apabila dibebaskan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz mengharapkan syarikat-syarikat korporat bersama-sama membantu Jabatan ini membuka peluang menerima golongan ini semasa mereka dalam proses transisi kembali semula ke dalam masyarakat.

“Malah kerajaan juga menyambut baik transformasi Jabatan Penjara dengan memberikan pengecualian cukai kepada syarikat-syarikat yang menggajikan golongan ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, tambah Abdul Aziz, pihaknya juga menyasarkan dua pertiga banduan menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya