Program Jelajah Selangor Bekerja dapat sambutan - Utusan Malaysia

Program Jelajah Selangor Bekerja dapat sambutan

Mohd. Khairuddin (kanan) sedang beramah mesra dengan salah seorang peserta di Bangunan SUK, Shah Alam, Selangor, hari ini- UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 42 individu telah diterima bekerja menerusi Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 yang dianjurkan kerajaan negeri bermula 15 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan Dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, setakat ini, terdapat 18,267 kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh 105 majikan yang menyertai program kali ini.

“Buat masa ini, ada pihak majikan sedang menjalankan temuduga terhadap beberapa peserta.

“Kita optimis lebih ramai peserta program akan diterima bekerja bagi mengisi kekosongan sedia ada,” katanya ketika ditemui program tersebut di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Terdahulu, Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 dianjurkan sejak 15 November lalu dan berakhir esok bertujuan bagi membantu rakyat negeri ini yang kehilangan pekerjaan berikutan pandemik Covid-19.

Tambah Mohd.Khairuddin, kerajaan negeri akan menganjurkan Program Jelajah Selangor Bekerja pada tahun hadapan untuk membantu rakyatnya mendapat pekerjaan di syarikat swasta serta agensi di bawahnya.

“Kita berharap agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) terhadap penganjuran program ini supaya lebih ramai orang awam dapat menghadiri program tersebut.

“Dengan kelonggaran SOP ini, lebih banyak syarikat yang boleh membuka khemah pameran supaya lebih ramai orang awam boleh memohon kerja secara bersemuka,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang peserta, Aminuddin Mohd. 28 berkata, dia mengambil peluang untuk menyertai program tersebut bagi mendapat pekerjaan yang menawarkan pendapatan yang lebih baik.

“Buat masa ini, saya bekerja sebagai pembantu tadbir secara kontrak di sebuah jabatan kerajaan. Namun, saya cuba mencari pekerjaan lain yang gaji lebih tinggi kerana perlu menyara ibu bapanya yang sudah tidak bekerja lagi.

“Saya memohon jawatan jurutera di tiga buah syarikat dan berharap salah satu permohonan diterima,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya