Premis buang sisa toksik disita - Utusan Malaysia

Premis buang sisa toksik disita

Petugas JAS Selangor mengambil sampel buangan yang terdapat dalam salah sebuah tong di premis berkenaan di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang,Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tindakan sebuah premis membuang sisa toksik secara haram ke dalam sistem saliran tanpa proses pengolahan membawa padah apabila diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Premis yang menjalankan aktiviti mencuci tong-tong terpakai secara haram di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang itu diserbu kira-kira pukul 10 pagi.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, ketika serbuan dilakukan, premis itu didapati membiarkan air cucian tong-tong terpakai termasuk sisa buangan berjadual mengalir secara haram ke dalam parit yang terletak di belakang premis.

Menurutnya, semakan mendapati pembuangan sisa dilakukan tanpa sebarang proses pengolahan oleh premis yang beroperasi sejak tiga tahun lalu.

“Aktiviti di premis tersebut didapati menjadi punca kepada pembentukan buih berwarna putih di dalam parit di sekitar kawasan perumahan Taman Ubudiah.

“Semasa serbuan, kita dapati kawasan lantai dan longkang premis masih basah walaupun premis tidak menjalankan sebarang operasi dan seorang pekerja warga asing telah berjaya melarikan diri sebaik pihak berkuasa memasuki premis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, dua sampel sisa buangan terjadual yang terdapat dalam tong-tong terpakai itu telah diambil sebagai bahan bukti dan kawasan pencucian turut dikepung dengan pita amaran bagi mengelak pencerobohan bahan bukti di premis.

“Siasatan lanjut mendapati premis ini bertindak mencuci tong-tong terpakai untuk dijual kepada kilang-kilang yang terlibat dengan pembuatan bahan kimia untuk tujuan isian semula.

“Premis berkenaan memperoleh bekalan tong itu daripada kawasan perindustrian di sekitar daerah ini,” ujarnya.

Menurut beliau, pemilik premis telah menyalahi Jadual Pertama, Peraturan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang mana tong-tong terpakai merupakan buangan terjadual dengan kod deskripsi (SW 409) dan aktiviti kitar semula hendaklah memperolehi lesen daripada JAS.

Ujarnya lagi, kertas siasatan telah dibuka untuk pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN