KUALA TERENGGANU: Pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang di Marang ditutup sepenuhnya hari ini selepas kesemua lapan mangsa banjir kembali pulang ke rumah masing-masing.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, PPS terakhir yang terlibat dalam banjir gelombang kedua itu ditutup kira-kira pukul 10.30 pagi.
“Sehubungan itu semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah kini kembali dalam keadaan bersiap-siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Terdahulu, kesemua lapan mangsa banjir daripada tiga keluarga itu tidak dapat pulang ke rumah mereka berikutan kejadian banjir termenung yang menimpa kediaman masing-masing. -UTUSAN ONLINE