IPOH: Bilangan mangsa banjir di negeri ini meningkat hari ini kepada 37 orang daripada 14 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 10 orang semalam.
Pertambahan itu berikutan sebuah PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di Bagan Serai yang ditutup pada Sabtu lalu telah dibuka semula semalam.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, PPS tersebut menempatkan 27 mangsa daripada lapan keluarga.
“Mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak terdiri daripada penduduk Kampung Matang Tengah di Beriah yang dilanda banjir pada pukul 5 petang semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, satu lagi PPS yang masih dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan Titi Gantung di Bota yang menempatkan 10 orang daripada enam keluarga. – UTUSAN ONLINE