KANGAR: Kerajaan negeri tidak mengambil langkah melakukan potongan gaji yang diterima Menteri Besar serta barisan Exco untuk disalurkan ke dalam tabung Covid-19.
Sebaliknya kata Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, pihaknya telah mengambil inisiatif sendiri mewujudkan tabung berkenaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dengan jumlah terkumpul hasil sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pelbagai pihak lain setakat ini mencecah RM116,000.
Dalam masa sama Azlan berkata, tidak ada keperluan lagi melakukan pemotongan gaji tersebut memandangkan kerajaan negeri sudah menyediakan peruntukan mencukupi dalam menangani pandemik Covid-19.
“Potongan gaji itu hanya dilihat sebagai simbolik sahaja dengan nilai tidak seberapa berbanding pendekatan yang diambil kerajaan negeri melalui tabung yang diwujudkan sudah mencecah ratusan ribu ringgit.
“Dalam kalangan wakil rakyat dan pelbagai pihak lain sudah memberi sumbangan malah jumlah sumbangan tersebut jauh lebih banyak,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE