PUTRAJAYA: Kerajaan membangunkan portal pendaftaran dan pelesenan perniagaan setempat, MalaysiaBiz sebagai pemudah cara dalam urusan perniagaan setempat terutama golongan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha itu sekali gus mendokong agenda kerajaan digital dalam bidang perniagaan selain mengambil kira sumbangan PKS kepada ekonomi negara.
Kata beliau, portal yang berfungsi sebagai ‘pusat sehenti’ itu bertujuan mewujudkan persekitaran mesra peniaga bagi meningkatkan daya saing negara serta memacu pertumbuhan ekonomi setempat.
Perdana Menteri berkata, dalam mendepani kesan ekonomi pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara, kerajaan mengambil pendekatan secara inklusif dan menyeluruh dalam usaha menjamin kelangsungan ekonomi serta kesejahteraan hidup rakyat.
“Ini termasuk usaha memperkasa agenda pendigitalan yang merupakan salah satu daripada teras dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Justeru, proses digitalisasi ini terus dipergiat dan tumpuan juga diberikan kepada pembangunan ekonomi digital bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara pasca Covid-19,” katanya dalam ucapan pelancaran MalaysiaBiz secara maya hari ini.
Portal itu dibangunkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan SME Corp.
Sebanyak enam Badan Pendaftar Perniagaan dan 11 Pihak Berkuasa Melesen (PBM) yang menjadi rakan strategik dalam penyediaan perkhidmatan portal itu.
Perdana Menteri berkata, sumbangan PKS terhadap ekonomi negara dan penyediaan peluang pekerjaan merekodkan 38.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu berbanding 38.3 peratus pada tahun 2018.
Jelas beliau, sebanyak 45 peratus daripada KDNK disasarkan menjelang tahun 2025 dan 50 peratus pada tahun 2030.
Oleh sebab itu, beliau berkata, langkah-langkah untuk menjana pertumbuhan PKS terus diberi keutamaan melihat kepada trend pembelian dalam talian pada hari ini yang menunjukkan potensi PKS untuk berkembang pesat.
Dengan itu, katanya, proses pendigitalan dalam kalangan peniaga perlu dipermudahkan.
“Kerajaan menyasarkan sebanyak 40 peratus pendigitalan penyampaian perkhidmatan End-to-end (E2E) sepenuhnya menjelang akhir tahun ini berbanding 20.2 peratus pada tahun lalu.
“Sasaran ini juga diperkasakan dengan penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang saya sendiri pengerusikan bagi memastikan pembangunan ekonomi digital mampan untuk manfaat semua seiring dengan potensi teknologi 4IR di negara kita,” katanya.
Perdana Menteri turut mengulangi komitmen kerajaan untuk memastikan kelangsungan perniagaan khususnya PKS sebagaimana dalam Belanjawan 2021 menerusi bantuan dana, latihan, peralatan digital dan geran dengan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk merancakkan aktiviti pendigitalan dengan ketersediaan dana sehingga 31 Disember 2023.
Sebanyak RM150 juta pula, kata beliau, diperuntukkan bagi program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital kepada 100,000 usahawan tempatan di bawah Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro.
“Selain itu, sebanyak RM4.6 bilion diperuntukkan bagi memperkasa usahawan bumiputera dan penyediaan pembiayaan mikro kredit khas melalui TEKUN, Mara dan AgroBank yang memberi manfaat kepada usahawan wanita.
“Kesemua usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk melonjakkan PKS dan konsisten dengan kerangka inisiatif-inisiatif dalam pakej rangsangan ekonomi sebelum ini seperti Skim Pembiayaan PKS Penjana dan Geran Prihatin Khas 1 dan 2 untuk meringankan beban para peniaga,” katanya. – UTUSAN ONLINE