Polis selesai kes curi kenderaan tak sampai 15 jam

Polis selesai kes curi kenderaan tak sampai 15 jam

DZULKHAIRI Mukhtar (kanan) menunjukkan kereta pacuan empat roda yang dicuri pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Iskandar Puteri, Johor. - FOTO/BAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Polis mengambil masa tidak sampai 15 jam bagi menyelesaikan kes kecurian kenderaan pacuan empat roda di Jalan Merak Kayangan, Medini Utara di sini selepas menemukan kenderaan tersebut di Petaling Jaya, Selangor, semalam. 

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam operasi itu, polis turut menahan seorang lelaki 41 tahun yang disyaki melarikan kenderaan tersebut. 

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 50 tahun bahawa kenderaan jenis Toyota Hilux milik syarikat mangsa bekerja di tempat letak kenderaan kira-kira pukul 8.30 pagi. 

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri turut dibantu anggota polis Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor berjaya menahan seorang suspek di tepi jalan di Damansara Perdana pada pukul 11.15 malam. 

“Ketika kenderaan milik mangsa itu ditemukan, ia sudah ditukar dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu. Hasil semakan nombor casis mendapati kenderaan tersebut adalah yang dilaporkan hilang,” katanya pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini. 

Dzulkhairi berkata, dalam tangkapan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya tiga unit telefon bimbit, sebuah alat penebuk, pemutar skru, kekunci Allen, sebuah key programmer, alat kawalan jauh pelbagai kereta dan empat keping cukai jalan. 

Katanya, hasil semakan mendapati suspek iaitu lelaki tempatan mempunyai 26 rekod jenayah lampau atas kesalahan jenayah dan enam rekod bagi kes dadah. 

“Hasil siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam kes mencuri kenderaan khususnya kenderaan pacuan empat roda yang aktif sejak dua bulan yang lalu di Selangor dan di negeri ini. 

“Mereka ini menggunakan nombor kenderaan palsu pada kenderaan yang dicuri bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa. Kita masih lagi menjalankan risikan sama ada suspek menjual kenderaan tersebut ke negara jiran ataupun meleraikannya untuk dijual ke kedai alat ganti,” katanya. 

Katanya, dengan tangkapan tersebut dibuat, polis berjaya menyelesaikan kes kecurian kenderaan pacuan empat roda yang dilaporkan sebelum ini di daerah ini. 

“Kita akan terus menjalankan siasatan bagi mengesan seorang rakan jenayah suspek yang masih bebas ketika ini. 

“Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (curi kenderaan),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya