PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan 35 wanita warga asing yang dieksploitasi majikan mereka apabila tidak dibayar gaji yang dijanjikan sejak dua tahun lalu.
Wanita warga asing yang terdiri daripada 34 warga Indonesia dan seorang wanita Kemboja itu diselamatkan dalam lima serbuan di Melaka Tengah, Melaka dan satu serbuan di Petaling Jaya oleh sepasukan polis daripada Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (D3), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 12 November lalu.
Pengarah JSJ, Datuk Huzir Mohamed berkata, kesemua mangsa yang diselamatkan berusia antara 18 dan 40 tahun bekerja dengan sebuah agensi perkhidmatan pembersihan sebagai tukang cuci yang menjalankan perkhidmatan cucian dari rumah ke rumah di sekitar Melaka.
“Mangsa bekerja dengan gaji ditawarkan RM900 hingga RM1,200 sebulan namun kesemua mangsa didapati tidak mendapat gaji seperti dijanjikan.
“Mangsa turut dikurung di dalam rumah dan pergerakan mereka dikawal serta tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Huzir, dalam serbuan tersebut, pihaknya turut menahan tiga wanita tempatan berusia antara 33 dan 42 tahun yang dipercayai majikan mangsa serta seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai rakan subahat ketiga-tiga wanita tersebut.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya bersetuju untuk menuduh tiga majikan dalam kes ini dengan 35 pertuduhan di bawah Seksyen 12 Atipsom 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
“Lelaki yang merupakan rakan subahat mereka pula akan dituduh di bawah Seksyen 12 Atipsom 2007 dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan. Keempat-empat suspek akan didakwa 70 pertuduhan di Mahkamah Seksyen Melaka Tengah, esok,” jelasnya.
Huzir mengingatkan masyarakat agar tidak cuba mengeksploitasi sesiapa bagi mendapatkan keuntungan kerana tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang dipercayai terlibat dengan jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.
“Kita juga mengalu-alukan kerjasama masyarakat yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti tersebut untuk menyalurkannya kepada Bahagian D3, JSJ Bukit Aman melalui talian hotline 03-26101510 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN ONLINE