Polis Marin rampas rokok seludup, van bernilai RM453,580 - Utusan Malaysia

Polis Marin rampas rokok seludup, van bernilai RM453,580

ENAM buah van yang membawa rokok pelbagai jenama yang tiada cukai Kastam ditahan di hadapan sebuah rumah di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pasukan Polis Marin Wilayah 1 (PPMW1) Langkawi merampas 101,380 batang rokok pelbagai jenama yang  bernilai RM93,580 termasuk cukai Kastam dalam enam van di hadapan sebuah rumah di Jalan Datuk Kumbar di sini semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, dalam serbuan pukul 7.30 malam itu pemeriksaan awal yang dijalankan Unit Risikan Marin (URM) ke atas salah sebuah kenderaan terbabit menemui sejumlah kartun rokok dalam but van. 

“Pasukan URM PPMW1 Kuala Kedah dalam serbuan tersebut turut menahan dua lelaki berusia 45 dan 54 tahun yang dipercayai terlibat untuk menjaga van tersebut bagi membantu siasatan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut ke atas van berkenaan menemukan sebanyak 101,380 batang rokok pelbagai jenama.

“Hasil pemeriksaan terperinci yang dijalankan mendapati semua rokok terbabit disyaki tiada cukai kastam dan ingin diseludup ke pasaran tempatan,” ujarnya. 

Tambah beliau,  pihaknya mempercayai setor penyimpanan rokok seludup ini berpusat di Pulau Pinang dan menjadi pembekal untuk kawasan utara semenanjung. 

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk enam buah van berserta nilai cukai rokok adalah sebanyak RM453,580,” katanya.

Kata Rosman, van terbabit dan barangan rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Kuala Kedah untuk pendokumentasian. 

“Kes ini yang akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967 diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya