Polis Johor gerak operasi pematuhan SOP - Utusan Malaysia

Polis Johor gerak operasi pematuhan SOP

AYOB Khan Mydin Pitchay (tiga dari kiri) melihat buku pendaftaran dan peralatan saringan suhu dalam Op Bersepadu Pemantauan Pematuhan SOP Covid 19 di Kip Mall Tampoi, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor menggerakkan operasi bersepadu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi memantau kepatuhan orang ramai ekoran peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi tersebut membabitkan 151 anggota dan pegawai polis serta agensi lain seperti Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, operasi dijalankan di 61 lokasi tumpuan seperti premis perniagaan, kedai makan dan tempat awam dalam memastikan pematuhan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1888 (Akta 342).

“Operasi bersepadu ini dijalankan ekoran peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negeri ini melibatkan 2,362 kes sehingga semalam.

“Kerajaan memandang serius tentang penularan wabak ini. Justeru operasi bersepadu pemantauan pematuhan SOP Covid-19 dijalankan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Turut terlibat dalam operasi tersebut ialah pasukan sukarelawan polis, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengingatkan masyarakat agar tidak panik dengan penyebaran berita palsu berkenaan penularan pandemik tersebut.

Katanya, kes positif akan dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan dan tindakan susulan akan dibuat dengan melakukan saringan bagi kontak rapat yang terlibat.

“Ada berita palsu melibatkan kawasan Orang Asli semalam di mana mereka melarikan diri ke dalam kawasan hutan selepas khabar angin mengatakan seorang guru agama di kawasan mereka positif Covid-19.

“Jadi jangan mudah percaya khabar angin. Sebarang kemuskilan boleh hubungi pihak polis dan pihak kementerian kerana khabar angin disebarkan hingga menyebabkan kegusaran di dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya