SHAH ALAM: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan seorang individu dipercayai pekerja asing dikasari anggota keselamatan di kawasan asrama kilang yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung insiden itu petang semalam.
“Kita memang ada menerima laporan polis daripada syarikat kilang sarung tangan, Top Glove mengenai dakwaan tersebut.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan tular satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dipercayai pekerja asing di dera lelaki anggota keselamatan yang memakai pakaian tentera dalam laman sosial Facebook.
Dalam video berdurasi 19 saat itu memaparkan seorang lelaki memakai seluar celoreng memegang alat seperti cambuk mengarahkan pekerja asing itu berguling atas tanah.
Pekerja asing itu dikatakan telah melanggar perintah kuarantin PKPD yang ditetapkan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, ketika ditanya lebih lanjut mengenai insiden tersebut, Muhammad Yazid berkata, siasatan menyeluruh masih sedang dijalankan pihaknya.
“Kita tidak mahu mengganggu siasatan itu dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak,” ujarnya.
Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang hari ini menjelaskan pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian itu dan siasatan awal mungkin berpunca disebabkan provokasi.
Beliau berkata, semua pihak yang melakukan kawalan kuarantin dapat memberi kerjasama dan mengetahui mungkin ada anggota bertindak sedikit melebihi batas.
“Mereka bertugas 24 jam,macam-macam cabaran dan isu dihadapi, namun kita tidak mendengar sebarang aduan dan mereka dapat beri sumbangan apatah lagi ketika negara menghadapi masalah dan bencana ini.
“Mungkin terlepas satu atau dua dan ATM saya memohon maaf dan mungkin provakasi serta tindakan-tindakan luar, mungkin terkeluar perkataan seperti itu, kalau boleh semua bekerjasama ikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP),” katanya. -UTUSAN ONLINE