PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga kartunis ilustrasi digital, Mohamad Ikhsan Kamarudin yang meninggal dunia pagi tadi.
Sebagai peminat seni lukisan, Perdana Menteri turut merasakan kehilangan Allahyarham, apatah lagi karya pengasas ilustrasi digital Artortoise itu banyak digunakan untuk menyebarkan mesej kesedaran mengenai Covid-19.
“Saya ingin berkongsi kesedihan atas pemergian Allahyarham Mohamad Ikhsan. Salam takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan orang tersayang. Pemergiannya satu kehilangan kepada semua,” katanya dalam catatan Facebook beliau hari ini.
Muhyiddin turut mendoakan agar Allah SWT merahmati roh Allahyarham dan menempatkannya bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Allahyarham Mohamad Ikhsan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.37 pagi tadi dan selamat dikebumikan di Bandar Seri Putra, Kajang.
Menerusi akaun Artortoise sebelum ini pernah memberitahu arwah yang berusia 35 tahun itu sedang menerima rawatan Hepatitis B di Hospital Selayang.
Bagaimanapun, kesihatan Allahyarham tiada perkembangan baik dan semakin merosot kerana sistem pertahanan badannya sangat lemah selepas menjalani kemoterapi.
Turut menyampaikan ucapan takziah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang juga berkongsi kenangan bersama kartunis itu.
Jelasnya, sumbangan Allahyarham kepada negara melalui mata pena diharapkan memperoleh ganjaran syurga.
“Setiap kali terpandang beg cenderamata pejabat saya, pasti teringat Artortoise. Lukisan itu hadiah beliau kepada saya. Moga diganjari syurga atas segala sumbangannya kepada negara melalui mata pena. Sama-sama kita sedekahkan bacaan surah al-Fatihah,” katanya menerusi Facebook beliau. – UTUSAN ONLINE