PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Turut bersama dalam pertemuan itu ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu, pertemuan antara ketiga-tiga pemimpin itu demi membincangkan usaha-usaha memperkukuhkan hubungan kerjasama antara ketiga-tiga parti Melayu Islam.
“Semalam saya mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi dan Ahmad Zahid.
“Kami berbincang mengenai usaha-usaha untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama antara Bersatu, Pas dan UMNO,” katanya ringkas dalam catatan Facebook beliau malam ini.
Muhyiddin bagaimanapun tidak menyebut lokasi pertemuan itu yang dilihat berlangsung dalam keadaan santai. – UTUSAN ONLINE