PM tanam pokok pertama rasmi kempen 100 juta pokok - Utusan Malaysia

PM tanam pokok pertama rasmi kempen 100 juta pokok

SHAMSUL Anuar Nasarah (dua kiri) diiringi Ali Biju (dua kanan) pada Majlis Pra Pelancaran Program Penghijauan Malaysia Kempen Penamaan 100 Juta Pokok di Wisma Sumber Asli, Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menanam pokok pertama bersempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara mulai awal tahun depan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, acara julung kali itu akan diadakan di pekarangan kediaman rasmi Seri Perdana di sini pada 5 Januari ini.

“Dalam majlis itu, beliau sendiri akan menanam pokok kebangsaan iaitu merbau serta secara serentak dengan semua menteri besar dan ketua menteri di negeri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pra-Pelancaran Program Penghijauan Malaysia dan logo Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 di sini hari ini.

Kempen yang bertemakan ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’ itu menyasarkan sejumlah 100 juta batang pokok kayu dan berdaun hijau ditanam dalam tempoh lima tahun.  

Yang turut hadir ialah Timbalannya, Ali Biju; Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Zurinah Pawanteh dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd. Ridza Awang.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, kementerian itu berharap sejumlah 20 juta pokok ditanam di negara ini setiap tahun bagi memastikan sasaran jumlah tersebut dapat dicapai.

“Ini juga merupakan salah satu usaha kerajaan bagi mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah seluruh negara dilitupi pokok dan kawasan hijau,” jelasnya.

Hasrat itu ujarnya, selaras komitmen kerajaan ketika Sidang Kemuncak Bumi Rio de Janeiro, Brazil pada 1992 dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa Bersatu 2015.

Ketika ini katanya, Malaysia mencatatkan litupan hutan sebanyak 55.3 peratus dan kempen itu diharap dapat memastikan jumlah kawasan berkenaan dapat dipertahankan sebaik mungkin.

“Pelaksanaan kempen ini juga dipantau rapi dengan menggunakan aplikasi mudah alih dikenali Penghijauan Malaysia dan laman sesawang rasmi www.100jutapokok.gov.my,” terangnya.

Shamsul Anuar menambah, platform maya itu boleh diakses pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan dan orang awam bagi merekodkan jumlah pokok ditanam sepanjang kempen.

Para pengguna juga boleh mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung pokok termasuk cara penanaman dan penjagaan betul melalui Malaysian Biodiversity Information System.

Aplikasi pangkalan data itu dibangunkan khas pihak kementerian sebagai usaha berterusan bagi memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pokok diuruskan mampan.

Sambil luah optimis sasaran 100 juta pokok mampu direalisasikan lebih awal, beliau yakin aktiviti penebangan hutan untuk tujuan ekonomi pada masa sama, tidak menjejaskan kempen itu.

“Inisiatif kempen ini merupakan agenda nasional dan pelengkap kepada Program Penanaman Pokok Bakau Di Pantai, Projek Central Forest Spine serta Heart of Borneo,” tegas beliau lagi.   -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya