JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030 yang merupakan dokumen rujukan induk bagi tujuan perancangan dan pembangunan negeri ini untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Beliau hadir melancarkan pelan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Speaker DUN, Suhaizan Kaiat dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.
Terdahulu, Hasni berkata, PPMJ 2030 merupakan satu misi penting kerana pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar negeri ini akan dipacu berlandaskan lapan teras utama antaranya pemerkasaan ekonomi, memperkasa pelaburan dan ekonomi digital, penyediaan jaringan sistem pengangkutan mega.
Selain itu, kelestarian alam sekitar, tadbir urus cekap, berintegriti dan dinamik, kesejahteraan sosial, memperkasa sistem pendidikan Islam, pembangunan modal insan dan warisan budaya dan pesona wanita dan aspirasi idealis anak muda.
Katanya, pelan itu bertujuan untuk memelihara jati diri rakyat Johor supaya dapat terus diteruskan dipertahankan meskipun berdepan cabaran pembangunan pesat di samping dibangunkan secara konstruktif, insklusif dan bersepadu.
“PPMJ 2030 meletakkan fokus dalam usaha memperkasa tadbir urus kerajaan selain memberi penekanan terhadap inisiatif mengekalkan kelestarian alam sekitar, pemerkasaan penyediaan insfrastruktur dan beberapa usaha berkaitan.
“Namun yang lebih penting dalam kandungan pelan itu adalah selari dengan pelbagai inisiatif yang digariskan Kerajaan Persekutuan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) dengan menampilkan tiga objektif utama iaitu mampan ekonomi, mampan fizikal dan mampan sosial yang keseluruhannya disokong oleh lapan teras utama itu,” katanya menyampaikan ucapan pengulungan Sidang DUN Johor di sini.
Menurut Hasni, belia yakin suatu anjakan paradigma mampu dilakukan dalam mencorakkan masa depan Johor yang gemilang bagi tempoh sedekad akan datang untuk menjadikan Johor sebagai negeri berprestasi tinggi.
“Pada hari ini, kita amat bertuah apabila Perdana Menteri hadir bagi melancarkan secara rasmi buku Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030. Ribuan terima kasih Tan Sri,” katanya. – UTUSAN