IPOH: PKR Perak tidak akan menyokong usul undi percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang akan dibahaskan dalam persidangan dewan undangan negeri (DUN) Perak yang bermula esok.
Pendirian tersebut dinyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kar Hing yang memberitahu perkara itu telah diputuskan pada satu mesyuarat parti itu baru-baru ini.
Katanya, beliau serta dua lagi ADUN PKR negeri Perak bersepakat bahawa usul yang akan dibawa oleh ADUN Pengkalan Baharu dari UMNO, Abd Manaf Hashim tidak berkaitan dengan parti itu.
“Ini adalah usul yang dibawa oleh wakil rakyat kerajaan (Perikatan Nasional). Kita tidak tahu jika ada agenda tersembunyi misalnya untuk menunjukkan sokongan atau sebaliknya.
“Pendirian kami ialah jika usul itu dibahaskan dalam Dewan Undangan Negeri, kami tidak akan menyokong usul itu. Kami tidak menyokong Menteri Besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat PKR negeri Perak di sini hari ini.
Hadir sama ialah Naib Pengerusi PKR negeri, Mohd. Anuar Zakaria.
Dalam surat kepada Speaker DUN Perak bertarikh 18 November, Abd. Manaf berkata, Ahmad Faizal mendapat sokongan mencukupi majoriti anggota dewan, maka beliau mengajukan usul keyakinan terhadap Ahmad Faizal.
Speaker DUN Perak, Mohamad Zahir Abdul Khalid dalam sidang akhbar pada Isnin lalu mengesahkan menerima usul itu.
Menurut Mohamd Zahir, usul itu dimasukkan ke dalam agenda mesyuarat dan akan dibahaskan kerana memenuhi syarat.-UTUSAN ONLINE