JIKA dicampur undi Barisan Nasional (BN) dan Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dua kerusi yang dimenangi PKR di negeri ini iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sena dan Parlimen Kangar dijangka jatuh ke tangan gabungan Muafakat Nasional (MN) dalam pilihan raya akan datang.
Di Kuala Perlis pula, campuran undi BN dan Pas dalam PRU-14 yang membentuk sebanyak 4,065 undi, MN masih tewas tipis dengan PKR menerusi kelebihan 188 undi. Ini kerana dalam PRU-14, PKR memperoleh 4,253 undi.
PKR bagaimanapun dilihat masih goyah untuk mempertahankan kedudukan itu dan difahamkan BN tewas di situ yang sebelum ini merupakan kubu kuat mereka adalah atas faktor calon.
Namun melihat kepada ‘batang tubuh’ dan kesungguhan wakil rakyat PKR ketika ini iaitu Noor Azam Karap yang semakin disenangi penduduk di kawasan tersebut, tidak mustahil beliau mampu mengekalkan kedudukan di Kuala Perlis jika masih dicalonkan dalam pilihan raya akan datang.
Sena dan Kangar juga tidak mustahil dikekalkan apabila kedua-dua wakil rakyat tersebut dikatakan sangat ‘perform’ di situ.
Dalam PRU-14, wakil rakyat Sena, Asrul Nizan Abd. Jalil menang dengan majoriti hanya 314 undi dan jika ditambah undi BN dan Pas dalam pilihan raya tersebut, PKR dijangka tewas dengan 974 undi dalam PRU-15.
Di Kangar pula, campuran undi BN dan Pas dalam PRU-14 akan menyaksikan PKR tewas dengan majoriti sebanyak 2,862 undi.
Satu-satunya kerusi yang paling selamat bagi PKR di Perlis ialah DUN Indera Kayangan yang dimenangi parti itu sejak PRU-13. Dari majoriti 1,092 undi dalam PRU-13 melonjak hampir dua kali ganda kepada 3,177 dalam PRU-14.
Malah, jika dicampur undi BN dan Pas dalam PRU-14 yang membentuk 3,681 undi sekali pun, masih belum mampu untuk menggugat kedudukan PKR yang mendapat 5,023 undi dalam pilihan raya tersebut.
PKR dijangka tidak ada masalah kekal di Indera Kayangan dalam PRU-15, malah dengan kekuatan wakil rakyatnya, Gan Ay Ling yang cukup disenangi rakyat di kawasan itu membuatkan MCA bakal sekali lagi terlopong dalam cubaan kali ketiga merampas DUN itu.
DUN Indera Kayangan merupakan kubu kuat BN sejak sekian lama sebelum dibadai ‘tsunami’ apabila lebih 80 peratus pengundi Cina beralih arah memilih PKR dalam PRU-13 sebelum BN sekali lagi dihukum pada pilihan raya lalu.
Indera Kayangan yang merangkumi 50 peratus pengundi Melayu dan 43 peratus pengundi Cina dilihat agak sukar untuk jatuh kembali ke tangan BN khususnya MCA melainkan parti itu mampu meletakkan calon yang betul-betul boleh memberi tentangan kepada Ay Ling yang cukup dekat di hati penduduk di kawasan berkenaan.
Meskipun MCA dikatakan sudah mengatur langkah lebih awal mendekati penduduk di kawasan berkenaan namun PKR juga tidak ‘duduk diam’ bagi memastikan kerusi paling selamat itu terus kekal dalam PRU-15.
Menurut sumber, satu-satunya kerusi paling selamat bagi PKR di Perlis adalah Indera Kayangan dan agak mustahil untuk BN kembali merampas kawasan tersebut.
Katanya, pengundi Cina dijangka tidak berubah dan akan terus kekal menyokong PKR di kawasan tersebut manakala pengundi Melayu khususnya golongan muda juga dilihat semakin selesa dengan Ay Ling. – UTUSAN