PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Koreksional Kamunting, Taiping, Perak selama 14 hari yang bermula esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan laporan Kementerian Kesihatan yang mendapati berlaku peningkatan kes positif Covid-19 di situ.
“Atas nasihat dan penilaian risiko kementerian, PKPD dilaksanakan di pusat ini termasuk kuarters staf sehingga 12 Januari tahun depan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, sehingga 24 Disember lalu, kementerian berkenaan telah melaksanakan sebanyak 1,490 ujian saringan terhadap tahanan dan daripada jumlah itu, 50 didapati positif.
Pelaksanaan PKPD di lokaliti itu bertujuan bagi mengawal kluster sedia ada dan menghalang penularan kepada banduan lain, selain kakitangan, ahli keluarga serta komuniti di luar pusat.
Semalam, Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di Pusat Koreksional Johor Bahru dan kuarters di Johor yang melibatkan 937 tahanan, 322 petugas dan 128 ahli keluarga staf.
Terdahulu pada 22 Disember, PKPD juga dilaksanakan di Pusat Koreksional Jasin dan kuarters kakitangan di Melaka membabitkan 603 tahanan serta 168 petugas dan ahli keluarga. – UTUSAN