PKPD baharu di 3 lokaliti Mukim Bentong, Taman Telipok Ria dilanjut - Utusan Malaysia

PKPD baharu di 3 lokaliti Mukim Bentong, Taman Telipok Ria dilanjut

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 4,351 penduduk di tiga lokaliti dalam Mukim Bentong, Pahang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang akhbarnya di sini, susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan terbabit.

PKPD tersebut ujar beliau, meliputi para penduduk di kawasan Amber Court Apartment, Ria Apartment dan Rumah Kongsi Kampung Semaut selama 14 hari sehingga 23 Disember depan

“Penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan mendapati tiga lokaliti ini mempunyai risiko tinggi untuk berlaku penularan lebih ramai pesakit kerana kapasiti penduduk yang padat,” katanya.

Beliau menambah, pelaksanaan PKPD itu bagi membolehkan pihak kementerian mengesan dan buat saringan bersasar kepada kontak rapat serta menyekat penularan dalam komuniti.

Kementerian itu sudah melakukan saringan bermula 6 Disember lalu dan setakat 8 Disember, sejumlah 55 kes positif direkodkan dengan majoritinya melibatkan pekerja warganegara asing.

Dalam pada itu, PKPD di Taman Telipok Ria, Tuaran, Sabah dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 24 Disember ini.

“Sehingga kini, sebanyak 8,186 saringan dengan 493 kes kumulatif positifi direkodkan dan masih terdapat baki 1,386 sampel ujian yang masih menunggu keputusan,” kata Ismail Sabri.

Begitu juga PKPD di taman-taman perumahan dalam Mukim Sungai Seluang, Kulim, Kedah turut disambung lagi 14 hari sehingga 24 Disember.

Setakat ini jelas beliau, sejumlah 2,282 ujian secara bersasar dibuat oleh kementerian itu dan 137 kes direkodkan namun masih ada baki 128 sampel saringan yang menunggu keputusan.

Ia meliputi para penduduk di Taman Bayam, Taman Bayam Indah, Taman Kangkong 1, Taman Kangkong 2, Taman Halia, Taman Cekur Manis, Taman Kobis dan Taman Seri Limau.

“Bagaimanapun Taman Sawi dikeluarkan daripada pelaksanaan PKPD kerana tiada kes tetapi masih tertakluk Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 20 Disember.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan pelaksanaan PKPB di Mukim Teja, Daerah Kampar, Perak yang bermula sejak 7 Disember lalu, namun ditamatkan lebih awal daripada jadual.

Ia susulan 41 kes daripada 43 kes positif direkodkan berlaku dalam institusi Rumah Pengasih dan tiada kes melibatkan komuniti dikesan hasil 410 ujian saringan kontak secara bersasar.

Justeru kata beliau, atas nasihat kementerian itu, pelaksanaan PKPB di kawasan ini yang sepatutnya berakhir pada 20 Disember, ditamatkan awal daripada tarikh iaitu 10 Disember. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN