JOHOR BAHRU: Asrama pekerja Westlife di Taman Perindustrian Tampoi Indah Jaya di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kini dikawal ketat oleh pasukan keselamatan bertugas.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan sekitarnya telah dipasang kawad besi berduri bagi mengawal pergerakan keluar masuk penghuni asrama tersebut.
Selain itu, petugas kesihatan lengkap berpakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) dilihat memasuki premis berkenaan.
Asrama itu dikenakan PKPD bermula hari ini hingga 8 Januari 2021 berikutan terdapat seramai 115 orang daripada 3,116 penghuni didapati positif dengan kesemuanya pekerja warga asing.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar semalam
Pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan melibatkan 231 unit kediaman dengan anggaran jumlah penghuni seramai 3,116.
Langkah itu susulan laporan Kementerian Kesihatan yang merekodkan ada berlaku peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di sekitar asrama berkenaan.
Malah ujian saringan dalam masa tiga hari bermula 21 Disember lalu mendapati seramai 115 orang daripada 3,116 penghuni di situ disahkan positif Covid-19. – UTUSAN