JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan bersependapat pintu sempadan Malaysia-Singapura harus dibuka sepenuhnya.
Menurut Hasni, proses ke arah itu haruslah dilakukan secara berfasa dan teliti.
“Johor terutamanya sudah bersedia untuk melakukan Daily Commuting Arrangement (DCA). Kita punya keupayaan dan sumber yang mencukupi untuk menjayakan skim sedemikian,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri pernah mengusulkan DCA iaitu cadangan skim rentas sempadan ketiga selepas Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang telah dilaksanakan masa kini.
Sekiranya DCA dilaksanakan, rakyat dari kedua-dua negara dapat berulang-alik merentasi sempadan pada setiap hari sama ada untuk pekerjaan atau untuk tujuan pendidikan.
Terdahulu, Hasni melakukan perbincangan bersama Vivian melalui sidang video.
Menurut Hasni, dalam perbincangan itu, kedua-dua pihak berbincang mengenai banyak perkara antaranya berkait dengan pembukaan semula sempadan Malaysia dan Singapura serta hubungan antara Johor dan negara itu secara umum.
“Perbualan secara maya saya bersama Menteri Luar Singapura ini amatlah bermakna. Sesungguhnya seperti yang saya selalu katakan, Johor dan Singapura harus dilihat sebagai satu unit.
“Maka segala pertimbangan haruslah dibuat atas perspektif tersebut. Insya-Allah, semoga hubungan terbina dapat memberikan jalan penyelesaian tuntas kepada permasalahan yang timbul,” katanya.