IPOH: Selepas hampir sejam pertemuan antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) Perak dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta hari ini, usaha pemberita untuk mendapatkan komen daripada tiga ketua parti itu mengenai kemelut politik negeri ini, tidak berhasil.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Asmuni Awi hanya melambaikan tangan kepada pemberita yang menunggu mereka di pekarangan Istana Kinta sejak pukul 10 pagi sebelum beredar menaiki kenderaan masing-masing.
Malah, usaha menghubungi ketiga-tiga pemimpin tersebut menerusi panggilan telefon dan WhatsApp bagi mendapatkan maklumat hasil daripada pertemuan pada pukul 10.40 pagi itu turut gagal.
Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Saarani Mohamad yang turut menghadap Sultan Nazrin juga mengambil langkah mengunci mulut.
Beliau yang beredar pada pukul 12 tengah hari hanya tersenyum sambil menunjukkan isyarat bagus kepada media. – UTUSAN ONLINE