IPOH: Pakatan Harapan (PH) Perak gembira kerana undi percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam sidang DUN Perak hari ini menunjukkan Perak dapat mendaulatkan sistem demokrasi berparlimen.
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Dr. Abdul Aziz Bari (gambar) berkata, usul undi percaya itu bukan pertama kali berlaku di negara ini kerana pernah terjadi pada tahun 1976 apabila Tun Hussein Onn diberikan kepercayaan untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri setelah kematian Tun Abdul Razak.
“Hari ini, Ahmad Faizal gagal mendapat kepercayaan itu dan gugur sebagai Menteri Besar dengan seluruh kerajaan gugur bersama beliau.
“Meskipun kerajaan sudah tumbang, kita harus ingat kerajaan yang ada boleh berfungsi sebagai caretaker.
“Saya juga yakin Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan mengambil perhatian perkara ini selain akan ada beberapa perbincangan dalam tempoh tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Dalam pada itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, usul itu dibuat dengan penuh aturan seperti yang termaktub dalam sistem demokrasi berparlimen.
Menurutnya, usul undi percaya tersebut mendapat penolakan besar daripada 48 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk 24 ADUN pembangkang berbanding 10 ADUN yang menyokong.
“Memandangkan kerajaan PN Perak telah runtuh, saya menyeru semua pihak untuk kekal bertenang. Segalanya akan diaturkan mengikut lunas undang-undang dan prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya. -UTUSAN