KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan tiga lagi syarikat termasuk sebuah anak syarikatnya berjaya memperoleh kebenaran untuk mencabar Lembaga Hasil Dalam Negeri yang mengenakan cukai tambahan berjumlah RM3.6 bilion.
Jumlah cukai tambahan tersebut adalah bagi tahun taksiran antara tahun 2010 dan 2017.
Ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid, peguam S. Saravana Kumar yang mewakili kesemua pemohon memaklumkan, LHDN tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan semakan tersebut.
Tambahnya, LHDN juga bersetuju agar kesemua pemohon iaitu Petronas dan anak syarikatnya Petronas Carigali Sdn. Bhd. (Petronas Carigali) bersama Sapura OMV Upstream (PM) Inc. (Sapura OMV), dan Tembungo Sub Block PSC (Tembungo) diberikan kebenaran untuk memulakan semakan tersebut yang dinyatakan dalam deraf perjanjian persetujuan.
“Draf perintah persetujuan disediakan oleh pihak pemohon dan bagi menjimatkan masa mahkamah, kesemua pihak telah mencapai jalan penyelesaian dengan responden (LHDN) bersetuju kebenaran diberikan kepada pihak pemohon bagi meneruskan kes,” kata peguam itu.
Hakim Ahmad Kamal kemudian merekodkan persetujuan itu namun tarikh pendengaran semakan kehakiman itu belum ditetapkan oleh mahkamah.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Penguam Cara Hasil, Dr. Hazlina Hussain hadir mewakili Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri selaku responden.
Pada Julai lalu, Petronas dan Petronas Carigali, Sapura OMV serta Tembungo memfailkan tiga permohonan semakan kehakiman terhadap LHDN atas dakwaan tindakan LHDN mengenakan cukai tambahan berjumlah RM3.6 bilion adalah di luar bidang kuasa mereka, menyalahi undang-undang, tidak sah, kelampauan kuasa dan tidak rasional.
Petronas mendakwa LHDN telah melanggar peruntukkan Seksyen 15(1) Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 dan telah menyalahtafsirkan Seksyen 72(1)(a) akta sama yang mana secara tidak langsung seolah-olah menuduh syarikat itu sengaja mengelak membayar cukai. -UTUSAN ONLINE