Pertimbang pelaksanaan kuarantin di rumah - Utusan Malaysia

Pertimbang pelaksanaan kuarantin di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sedang mempertimbangkan pelaksanaan kuarantin pesakit Covid-19 di rumah namun dasar sedia ada masih terus diguna pakai dalam mengekang penularan wabak terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan rekod pemantauan yang dilakukan, semua kemudahan kuarantin masih mampu menampung jumlah pesakit yang ada namun melihat kepada kemungkinan yang boleh berlaku.

Bagaimanapun, katanya, atas faktor berlakunya peningkatan kes positif kebelakangan ini maka berlakunya masalah kecil membabitkan logistik apabila ada pesakit terpaksa dikuarantin sementara di rumah.

“Kita juga tidak mengubah sebarang dasar kuarantin sedia ada namun sedang mempertimbangkan sama ada pelaksanaan kuarantin pesakit di rumah dapat dilakukan berdasarkan dua kriteria yang sedang diteliti sebaik mungkin.

“Kriteria terbabit ialah melihat kepada kesesuaian rumah pesakit itu termasuk bilik dan tandas manakala yang kedua, bagaimana petugas kesihatan dapat memantau pesakit di rumah mereka sepanjang tempoh kuarantin,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kelewatan pihak hospital mengambil pesakit positif untuk dibawa ke pusat kuarantin.

Dr. Noor Hisham berkata, jika dilihat kemungkinan berlakunya peningkatan kes, maka asrama majikan boleh dijadikan sebagai pusat kuarantin selaras Akta 342 Seksyen 11(3)(c) iaitu menggunakan asrama bagi kes positif tahap satu dan tahap dua yang mempunyai gejala ringan.

Katanya, perkara ini sedang dipertimbangkan, iaitu kementerian pernah melakukan ketika membuat kawalan ke atas Kluster Teratai dengan menjadikan asrama Blok A dan B sebagai pusat kuarantin.

“Kemungkinan kaedah terbabit boleh dilakukan bagi mengelakkan kesesakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) namun sekiranya majikan mempunyai penempatan pekerja, maka ia boleh digunakan sebagai penginapan khas pekerja mereka.

“Bagaimanapun, sehingga kini, kementerian masih mampu menerima pesakit positif namun kelewatan mengambil pesakit dari rumah mereka untuk dihantar ke hospital akan berlaku sedikit kelewatan,” katanya.

Beliau berkata, semua pesakit yang masih belum dihantar ke pusat kuarantin perlulah bersabar dan tunggu sehingga pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah datang.

“Terus kekal di rumah dan asingkan diri dari keluarga masing-masing dengan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan virus terbabit,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya